SELAMAT DATANG KE LALUAN SUTERA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.

Rabu, 4 November 2009

Tingkatan Zuhud


Hakikat zuhud ialah menyingkirkan apa apa yang semestinya disenangi dan diingini oleh hati, kerana yakin ada sesuatu yang lebih baik untuk meraih darjat yang tinggi di sisi ALLAH.

Syeikh Abdul Samad Al Palimbani mengatakan bahawa ada beberapa rukun kezuhudan.

1. Meninggalkan sesuatu kerana menginginkan sesuatu yang lebih baik lagi.
2. Meninggalkan keduniaan kerana mengharapkan akhirat.
3. Meninggalkan segala sesuatu selain ALLAH kerana mencintaiNYA

Imam Ahmad Ibnu Hambal mengklasifikasikan tingkatan zuhud yakni:

1. Zuhudnya orang orang awam ialah meninggalkan hal hal yang haram
2. Zuhud orang orang yang khawas (khusus) iaitu meninggalkan hal yang berlebih lebihan (al fudhul) meskipun barang halal.
3. Zuhud orang Arif iaitu meninggalkan segala sesuatu yang dapat memalingkan daripada mengingati ALLAH.

Al Imam Ghazali pula membahagikan zuhud kepada tiga peringkat yakni :

1. Tingkat terendah ialah menjauhkan dunia agar terhindar dari hukuman di akhirat.
2. Tingkat kedua ialah mereka yang menjauhi dunia kerana ingin mendapatkan imbalan di akhirat.
3. Tingkat tertinggi ialah zuhud yang ditempuh bukan lagi kerana takut atau harap, tetapi semata mata kerana cinta kepada ALLAH Taala.

Ada kisah kesufian yang diceritakan oleh Ibnu Athaillah As Sakandary tentang seorang sufi yang hidup kaya raya namun hartanya yang berlimpah ruah itu tidak menghalangya untuk menjadikan dia seorang zahid. Dalam kisahnya itu Ibn Athaillah berkata,

“Seorang guruku pernah bercerita, bahawa di Maghribi ada seprang sufi yang hidupnya zuhud terhadap duniawi dan bersungguh sungguh dalam ibadahnya. Sumber hidupnya hanya apa yang diperolehi daripada memancing. Pada suatu hari, salah seorang murid sufi ini hendak pergi ke salah sebuah kota. Maka, berkatalah sufi tersebut, “ Jika kamu sampai di kota, maka temuilah saudaraku, sampaikan salamku padanya dan mintalah doa. Sesungguhnya dia adalah seorang wali ALLAH.

Selanjutnya murid itu bercerita, “Aku tiba di tempat tujuanku. Ketika aku tertanya tanya tentang seorang yang dipesan oleh guruku, segera aku ditunjukkan ke sebuah rumah tidak layak didiami, kecuali raja raja. Aku hairan. Ketika aku tanya di manakah dia berada, maka dijelaskan bahawa dia sedang bersama raja. Hal itu menambahkan kehairanku. Tidak berapa lama aku bertambah hairan, kerana orang yang aku cari itu sedang menunggang kudanya dengan pakaian dan kenderaan yang serba mewah, seolah olah dia adalah seorang raja. Hampir saja aku batalkan niatku untuk bertemu dengannya. Namun hati ku berkata, Tidak baik melanggar perintah guru. Aku pun minta izin untuk masuk ke rumahnya. Ketika diizinkan masuk aku pun semakin hairan dengan banyaknya pelayan yang berpakaian serba indah. Aku berkata, Saudaramu kirim salam padamu. Dia balik bertanya, Apakah kau dari sana? Aku menjawab,Ya. Lalu dia berkata, Jika kamu kembali pada saudaraku itu, katakan kepadanya, "Sampai bila kesibukanmu kepada duniawi itu akan berakhir? " Kehairanku makin bertambah setelah mendengar pesanan orang itu. Dan ketika aku pulang kutemui guruku, beliau bertanya, Adakah kamu berjumpa dengan saudaraku? Ya, sahutku. Lalu beliau berkata, Aku yakin pasti ada sesuatu pesanan untukku. Maka aku ceritakan apa yang kulihat dan apa yang dipesankan buat beliau. Mendengar ceritaku, guruku menangis. Setelah agak lama kemudian beliau berkata:“Sungguh benar ucapan saudaraku itu, memang ALLAH telah membersihkan hatinya dari duniawi, kerana dunia baginya hanya dijadikan di tangan lahirnya saja. Sedangkan aku mengambil dunia itu dari tanganku dan aku selalu memikirkannya

Tiada ulasan:

Burdah Zikir & Selawat