SELAMAT DATANG KE LALUAN SUTERA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Al-Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad



Beliau dilahirkan di salah sebuah kampung di Kota Tarim, iaitu di Hadhramaut, Yemen pada 5 Safar 1044 Hijrah. Beliau dibesarkan di kota tersebut yang terkenal sebagai pusat penempatan kaum Asyraf dari keturunan Saiyidina Husain bin Ali bin Abu Talib. Di sanalah beliau mendapat pelajaran Al-Qur’an serta menghafalnya.

Di masa kecil beliau telah kehilangan penglihatan disebabkan penyakit cacar yg menimpanya, akan tetapi Allah s.w.t. telah menggantikan penglihatan lahirnya yang hilang dengan penglihatan batin. Beliau terus menuntut ilmu agama dan mendalaminya, sehingga menjadi pintar dan jaguh dalam segala selok-belok pelajaran agama dan lapangannya. Beliau kemudian mendampingi para ulama yang terkenal pada zaman tersebut, serta Allah s.w.t. telah mengurniakannya dengan kekuatan hafalan yang sangat menakjubkan serta kefahaman yang luar biasa.

Beliau terus bersungguh-sungguh dalam menjalankan amal ibadatnya, serta menyertakan amal di samping ilmunya. Demikianlah cara hidup beliau dari masa remaja hingga ke masa dewasa, sehinggalah ke akhir hayatnya. Beliau sangat giat mendidik murid-muridnya dan membimbing peminat-peminatnya untuk menuju ke jalan Allah Ta’ala. Lantaran itu, maka ramailah pelajar yang datang mengunjungi beliau dari merata ceruk dan rantau, sehingga dengan itu tersebar-luaslah manfaat yang ditabur oleh beliau ke merata tempat. Meskipun kedua-belah matanya buta tidak dapat melihat, namun begitu beliau terus juga merantau dan mengunjungi beberapa negeri untuk tujuan dakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan, sehingga tersebarlah ajaran Islam kepada orang ramai.

Beliau juga seorang penyair yang berbakat. Apabila mengungkapkan syairnya, nescaya ia akan mempesonakan siapa sahaja yang mendengarnya. Beliau juga seorang penulis yang puitis. Tulisannya sungguh mengharukan dan memikat hati. Beliau akan memikat para pendengarnya apabila beliau berpidato, lawannya akan tewas apabila beliau mengemukakan hujah.

Beliau juga terkenal sebagai seorang yang jelas segala kata-kata dan ibaratnya, kukuh dan tegas pengolahannya, mendalam perbahasannya, sangat meneliti dalam pengambilannya, hujah-hujahnya terang, penerangannya mengkagumkan, amat luas interpretasinya. Beliau sering mengukuhkan pembicaraan dengan berpandukan kepada Al-Qur’anul-Karim, Hadith-hadith Nabi s.a.w. dan kata-bicara dari beberapa orang tokoh dan imam untuk mencabut gangguan-gangguan dalam diri dan was-was dari dalam dada setiap orang yang syubahat, di samping membetulkan setiap buruk-sangka, sehingga tiada ditinggalkan sesuatu kemusykilan pun melainkan diselesaikannya, atau sesuatu persoalan melainkan dijawabnya dengan terang.

Beliau meninggalkan kepada umat Islam khazanah ilmu yang banyak, yang tidak ternilai, melalui kitab-kitab dan syair-syair karangan beliau. Antaranya ialah:

1. An-Nashaa’ih Ad-Dinniyah Wal-Washaya Al-Imaniyah.

2. Ad-Dakwah At Tammah.

3. Risalah Al-Mudzakarah Ma’al-Ikhwan Wal-Muhibbin.

4. Al Fushuul Al-Ilmiyah.

5. Al-Hikam.

6. Risalah Adab Sulukil-Murid.

7. Sabilul Iddikar.

8. Risalah Al-Mu’awanah.

9. Ittihafus-Sa’il Bi-Ajwibatil-Masa’il.

10. Ad-Durrul Manzhum Al-Jami’i Lil-Hikam Wal-Ulum.*

* Kitab ini adalah kumpulan syair-syair Al-Imam. Qasidah-qasidah dalam album ini di ambil dari kitab ini.

Beliau telah menyahut panggilan Tuhan pada petang hari Selasa, 7 Dzul-qaidah 1132 Hijrah, dan dikebumikan di perkuburan Zanbal, di Kota Tarim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan memberikan beliau dengan balasan pahala yang berganda-ganda.

Tiada ulasan:

Burdah Zikir & Selawat