SELAMAT DATANG KE LALUAN SUTERA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.

Isnin, 20 September 2010

Tasawuf Dan Tarikat


Maksud tarikat secara umumnya ialah suatu jalan (tarikat) yang dilalui seseorang Islam itu untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala. Di sini kita tidak menafikan bahawa wujud segelintir tarikat yang sesat dan tidak mengikut syariat Islam yang sebenar. Namun untuk menghukum kesemua tarikat tasawuf adalah salah dan sesat secara pukul rata, dakwaan ini tidaklah boleh diterima akal sama sekali. Ulama-ulama muktabar Islam juga turut memperakui kebenaran tarikat tasawuf ini dan ada di antara mereka merupakan pengamal tarikat di antaranya Imam Hanafi (Sila rujuk kitab ad-Dur al-Mukhtar). Ini merupakan bukti yang kukuh lagi kuat untuk menyatakan bahawa tarikat adalah dibenarkan dan bertepatan dengan Islam. Mana mungkin para ulama muktabar yang begitu memahami dan mendalami Islam mengamalkan tarikat tasawuf jika ia sesuatu yang sesat dan bidaah bukan?

Berkata Imam Shafie:

Disukai bagiku daripada duniamu tiga perkara: Meninggal perkara yang membebankan diri dan bergaul sesama makhluk dengan lemah lembut serta mengikut jalan ahli tasawuf.

(Kitab: Kasfu al-Khafa Wa Mazilu al-Albas).

Adapun ahli tasawuf yang sebenarnya tidaklah terlepas dari melakukan syariat Islam bahkan merekalah golongan yang perlu memperbanyakkan lagi amalan-amalan baik dengan berlipat-lipat kali ganda. Ini kerana tasawuf dan tarikat itu sendiri terikat dengan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sepertimana yang diterangkan oleh Imam Junaid:

Mazhab kami terikat dengan usul al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W.

(Kitab: al-Tabaqat as-Sufiyyah).

Bagi pengamal tarikat tasawuf Islam yang telah lama mahupun kepada yang baru berjinak-jinak dengan tarikat, mungkin kata-kata dari Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ini boleh dijadikan pedoman serta panduan:

Sesungguhnya meninggalkan ibadah fardhu adalah zindiq,

Melakukan yang haram atau yang ditegah adalah maksiat,

Perkara fardhu tidak akan gugur daripada seseorang individu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

(Kitab: al-Fathu ar-Rabbani).


Tarikat tasawuf bukanlah suatu yang sesat dan bidaah di sisi Islam sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak, bahkan tasawuf adalah sebahagian daripada Islam melalui pengiktirafannya mengenai Ihsan di dalam hadis Jibril A.S. Adapun tarikat yang sesat itu sebenarnya bukanlah dinamakan tarikat tasawuf bahkan mereka ini adalah perosak tasawuf. Mereka mendakwa sebagai pengamal tasawuf, akan tetapi mereka menyeleweng dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Inilah di antara masalah-masalah yang terpaksa di hadapi oleh para pengamal tarikat tasawuf sehinggakan ia memberi peluang kepada musuh-musuh tasawuf untuk melancarkan serangan jahat terhadap Islam secara umumnya dan tasawuf secara khususnya.

Namun ada sesetengah pengamal tarikat tasawuf yang terlalu taksub sehingga mengatakan semua pihak yang mendakwa diri sebagai tarikat adalah betul dan tidak salah sama sekali. Mereka ini terus menyalahkan dan memaki-hamun sesiapa sahaja (di manakah akhlak sebagai seorang pengamal tasawuf?) yang mendakwa sesuatu tarikat itu tidak bertepatan dengan Islam walaupun orang yang berkata itu adalah para ulama sufi sendiri. Sedangkan kita semua juga mengetahui bahawa wujud segelintir tarikat yang menyalahi syariat Islam sepertimana yang telah saya jelaskan di atas. Sikap ketaasuban mereka yang terlalu melampau ini juga boleh membuka ruang bagi musuh-musuh tasawuf dan tarikat merendah-rendahkan Islam dan mengucar-kacir masyarat Islam itu sendiri.

Tiada ulasan:

Burdah Zikir & Selawat