SELAMAT DATANG KE LALUAN SUTERA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.

Jumaat, 2 Julai 2010

Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf



Sejarah membuktikan Ahli Tasawuf memainkan peranan penting di dalam usaha menegak dan mempertahankan agama Allah. Mereka bukanlah hanya menghabiskan masa dengan berzikir, tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak mengendahkan suasana di sekelilingnya.

Sebaliknya mereka turut mengambil bahagian yang serius di dalam dakwah dan jihad, malah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan umat Islam atau dalam jihad menentang kuffar di medan peperangan, mahupun menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan golongan berkuasa.

Pembelaan para pemimpin kerohanian terhadap Islam sangat jelas di dalam lembaran sejarah. Di antaranya ialah Syeikh Hatim dan gurunya Syeikh Syaqiq. Mereka berdua telah mengambil bahagian dalam jihad di zaman mereka, dan guru beliau telah syahid di medan peperangan.

Ibrahim bin Adham, seorang wali Allah, di dalam manaqibnya ada dijelaskan bahawa beliau sentiasa mengambil bahagian dalam peperangan yang berlaku di zamannya, baik peperangan itu berlaku di darat mahupun di laut.

Demikian juga Syeikh Abu Yazid Al-Bistami, beliau bukan sahaja seorang guru mursyid dan pemimpin kerohanian, bahkan merupakan seorang pejuang yang berani memasuki apa jua medan peperangan sehingga beliau sendiri pernah berkata :

“Aku telah ditetapkan Allah untuk bersama-sama dengan para mujahidin (di medan peperangan). Aku menetakkan pedang di muka musuh-musuh Allah itu bersama mereka di dalam masa yang lama.”

Dalam hal ini, Dr. Abd Halim Mahmud di dalam sebuah bukunya menegaskan bahawa Syeikh Abu Yazid ketika berada di barisan hadapan, bukan hanya semalaman bersandar di tembok-tembok kubu Islam, tetapi beliau juga terus berzikrullah tanpa putus-putus, sehingga beliau benar-benar menjadi orang Mukmin yang menepati kehendak sabda Rasulullah SAW :

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (di akhirat) ialah mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang celik sepanjang malam kerana menjaga (musuh) di dalam perang fi sabilillah.”


Uwais Al-Qarni adalah seorang wali Allah dan semulia-mulia tabi’in. Sejarah mencatatkan bahawa beliau telah turut sama mempertahankan Saidina Ali di dalam peperangan Siffin kerana berpendapat golongan yang menentang Saidina Ali adalah salah, dan wajib memerangi mereka sehingga mereka bertaubat dan kembali kepada jalan sebenar. Kemudian ketika tentera Islam berperang dengan tentera Rom, beliau telah sama-sama mencabut pedang dan terjun ke medan perang. Beliau telah syahid akibat mengalami kecederaan di dalam peperangan tersebut.

Dalam peperangan Salib, para ulama tasawuf telah memainkan peranan yang cukup penting sebagaimana yang dinukilkan di dalam Haqaiq ‘an al-Tasawuf :



Quote
“Dan di Mesir, di waktu tentera Salib sampai di Dimyat, golongan sufiyyah seperti Syeikh Abu Hasan Asy-Syazili, ‘Izuddin bin Abd Salam dan Abu Fath bin Daqiq al-’Iyd dan ulama-ulama lain telah memberikan khidmat yang sebaik-baiknya untuk menentang tentera Salib.”




Begitu juga dengan Imam Sanusi yang hidup di sekitar tahun 1200 Hijrah. Beliau mengetuai umat Islam menentang penjajahan Itali selama berpuluh-puluh tahun. Syeikh Abd Qadir al-Jazairi juga adalah seorang panglima dan pemimpin agung gerakan menentang penjajahan Peranchis di Algeria.

Kita juga mungkin telah membaca sejarah dan menonton tayangan filem mengenai perjuangan Syeikh Umar Mokhtar yang gigih menentang penjajahan Itali di Libya di mana beliau akhirnya syahid di tali gantung.

Di benua India pula, kita menemui tokoh-tokoh perjalanan kerohanian seperti Syeikh Ahmad al-Sirhindi, Syah WaliyuLlah al-Dihlawi dan lain-lain yang sangat berjasa kepada Islam kerana jihad mereka dalam politik dan agama sehingga Syeikh Abu Hassan An-Nadwi menyebutkan pentingnya peranan mereka itu dengan katanya :
Quote

“Sesungguhnya saya sentiasa menyatakan bahawa jika tidak kerana wujudnya mereka itu dan jihad mereka, nescaya Islam telah (lenyap) ditelan oleh agama Hindu, tamadunnya dan falsafahnya.”




Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bermula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama.

Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam.

Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi.

Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya.

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat.

Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara’ dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Seorang lagi ulama tasawuf Terengganu ialah Tokku Paloh, seorang guru mursyid Tariqat Naqsyabandiah yang banyak berjasa terhadap kerajaan Terengganu dan rakyat jelata di dalam usaha menentang kerajaan British.

Salah satu peristiwa yang masyhur ialah ketika pihak Inggeris mahu berunding dengan Raja Melayu mengenai satu tempat bernama Bukit Besar yang ingin mereka miliki. Raja atau Sultan Terengganu pada ketika itu ialah Sultan Zainal Abidin III dan regu baginda ialah Tokku Paloh. Bila Inggeris bertemu baginda dan menyatakan hasrat mereka, lantas Sultan bertitah, “Negeri ini ada tuannya, hendaklah berunding dengannya terlebih dahulu.” Maksud baginda ialah Tokku Paloh.

Pihak Inggeris pun bertemu dengan Tokku Paloh dan berunding mengenai hal itu. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka, punggahlah tanahnya ke dalam kapal.

Pihak Inggeris amat marah lalu bangun untuk meninggalkan majlis tersebut. Tapi dengan izin Allah dan karamah Tokku Paloh, kerusi yang diduduki pihak Inggeris melekat pada punggung mereka. Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar sahaja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi kamipun kamu mahu ambil juga”. Pergilah pihak Inggeris dengan penuh rasa malu.

Kemudian, mereka mahu berunding buat kali kedua tapi ia mestilah diadakan di atas kapal mereka yang besar itu. Bila diajukan jemputan kepada Tokku Paloh, beliau mengatakan kapal besar tak mampu bertahan kalau ia naik. Pihak Inggeris ketawa mendengar kata-kata Tokku Paloh itu.

Namun dengan izin Allah dan karamahnya, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal yangbesar itu turut senget mengikut perbuatan Tokku Paloh. Hal itu menimbulkan perasaan cemas di pihak Inggeris sehingga rundingan dibatalkan serta merta.

Begitu juga dengan murid Tokku Paloh, Haji Abd. Rahman Limbong yang telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan tahun 1921-1928 Masihi di Terengganu dalam mempertahankan Islam dari anasir penjajahan.

Selain itu, sejarah juga mencatatkan peranan besar yang dimainkan oleh Wali Songo (Wali Sembilan) di Pulau Jawa. Dengan usaha gigih yang dilakukan, dengan sokongan rakyat jelata, mereka berjaya menubuhkan pemerintahan Islam, menewaskan kekuasaan Hindu, mendirikan masjid, pesantren (pondok), mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam kehidupan masyarakat.

Sejarah Islamnya Kerajaan Pattani juga melibatkan ahli Tasawuf dengan kaedah menarik. Menurut ceritanya, tiga orang ulama sufi yang merupakan sahabat karib telah menjalankan dakwah di Patani.

Mereka ialah Syeikh Shafiyuddin, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Sebaik tiba di Patani, mereka bertiga telah membuat pondok kecil di satu tempat bernama Kerisik.

Di situ, mereka mengumpul maklumat, membuat kajian mengenai suasana dan budaya setempat serta memikirkan strategi dakwah yang sesuai kerana di masa itu Patani diperintah oleh raja yang beragama Budha.

Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan Allah dalam dakwahnya. Manakala kedua sahabatnya keluar meninjau dan mendapatkan maklumat-maklumat baru. Suatu hari, tersebarlah berita bahawa Maharaja Antira iaitu pemerintah Patani mengalami penyakit yang berat.

Maka sesiapa yang dapat merawatnya akan diberi upah yang besar. Sebelum ini telah ramai bomoh yang mengubati beliau, namun tidak juga sembuh-sembuh. Apabila pegawai raja sampai ke tempat Syeikh-Syeikh ini, salah seorang dari mereka menyapa dan memberitahu bahawa terdapat seorang dukun yang sangat sakti yang mampu menyembuhkan maharaja itu. Dukun yang dimaksudkan itu sebenarnya ialah Syeikh Shafiyuddin sendiri.

Keesokan harinya, ketiga-tiga orang Syeikh itu dijemput ke istana untuk mengubati raja. Sebelum upacara pengubatan dilakukan, terjadi perjanjian dimana jika raja sembuh hasil pengubatan Syeikh Shafiyuddin, maka raja mestilah menukar agama dari Budha kepada Islam. Syarat itu dipersetujui raja. Kemudian, Syeikh mula membacakan doa-doa dan ayat-ayat al-Quran.

Dengan izin Allah, tiga hari selepas itu raja pun sembuh dari penyakitnya. Tapi raja engkar dengan janjinya untuk memeluk Islam. Dengan karamah Syeikh Shafiyuddin, penyakit raja berulang semula. Maka diubati lagi seperti janji yang pertama, dan sembuh kembali. Raja mungkir lagi, tiba-tiba penyakitnya datang kembali. Diubati lagi dan sembuh semula. Akhirnya raja Budha itu pun memeluk Islam dan diikuti oleh ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga Wali Allah tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani.

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhamad Salleh al-Zawawi, Arshad Banjari dan banyak lagi.

Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata :



Quote
“Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.”




Abu Hasan Ali an-Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abd Qadir al-Jailani dengan katanya :


Quote
“Kira-kira 70,000 orang telah menghadiri majlis (ta’limnya). Lebih 5,000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100,000 orang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai’ah seluas-luasnya, maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali Allah sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keIslaman mereka itu.”



Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali Allah dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi SAW dan perjalanan para sahabat (radiaLahu ‘anhum).

Wallahu ‘alam.

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Petikan buku : Sufi Mujahid

Rabu, 30 Jun 2010

Musuh Tasawuf Dan Tarekat


Musuh-musuh tasawuf cuba sedaya upaya untuk menyerang dan menfitnah tasawuf Islam dengan pelbagai pendustaan dan rekaan cerita semata-mata. Mereka juga akan melontarkan berbagai-bagai tohmahan dan penyelewengan mungkin disebabkan oleh perasaan hasad dengki mereka ataupun mungkin juga disebabkan kejahilan diri mereka sendiri terhadap agama Islam. Lebih menyedihkan lagi ada di antara musuh-musuh tasawuf ini terdiri dari kalangan orang-orang Islam sendiri sedangkan mereka semua sudah sedia maklum mengenai hakikat kebenaran tasawuf ini sepertimana yang terkandung di dalam sebuah al-Hadis S.A.W. mengenai Ihsan.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Bahawa kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.

(Riwayat Muslim).

Berkata al-Muhaddith Syeikh Muhammad Siddiq Al-Ghumari:

Sesungguhnya Ihsan sebagaimana dalam hadis tersebut adalah ibarat dari tiga rukun yang disebutkan. Barangsiapa tidak menyempurnakan rukun Ihsan yang mana ia merupakan tarikat (jalan) maka tanpa ragu-ragu lagi bahawa agamanya tidak sempurna kerana dia meninggalkan satu rukun dari rukun-rukunnya. Tujuan atau kemuncak matlamat yang diseru dan diisyaratkan oleh tarikat ialah maqam Ihsan setelah memperbetukan Islam dan Iman.

(Kitab: Intishar Li Thariqi as-Sufiyyah).

Berkata Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori:

Tasawuf ialah suatu ilmu yang diketahui dengannya keadaan penyucian jiwa dan pembersihan akhlak serta mengimarahkan zahir dan batin bertujuan untuk mencapai kebahagiaan yang abadi.

(Kitab: Ala Hamisy Risalah al-Qusyairi).

Berkata Imam Junaid:

Tasawuf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkahlaku yang rendah lagi di keji.

(Kitab: Nusrah al-Nabawiyyah).


Berkata Syeikh Abdul Kadir Isa di dalam kitabnya Haqaiq An al-Tasawuf mengenai musuf-musuf tasawuf sepertimana berikut (saya hanya mengambil secara ringkas sahaja):
Di antara musuh-musuh tasawuf terdiri dari kalangan orentalis lagi zindiq serta para pengikutnya dan konco-konconya. Mereka telah disusun atur dan dilatih oleh golongan kafir yang jahat bagi mencela Islam. Mereka cuba memusnahkan pokok pangkal Islam dengan menimbulkan pelbagai keraguan serta menyebarkan fahaman-fahaman untuk memecahkan umat Islam. Mereka mempelajari Islam secara mendalam tetapi bertujuan untuk menyeleweng dan memusnahkan Islam. Mereka juga sentiasa memiliki sifat talam dua muka. Mereka juga mendakwa tasawuf diambil daripada Yahudi, Nasrani dan Buddha. Bermacam-macam tohmahan dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ulama tasawuf. Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir orang Islam menggunapakai pandangan dan pendapat dari musuh-musuh Islam ini untuk mencela tasawuf secara total. Inikah yang dikatakan pejuang Islam yang sebenarnya? Kadang-kadang mereka ini berselindung di sebalik sebagai seorang pengkaji atau sarjana ilmuan Islam, akan tetapi merekalah di antara para perosak agama Islam dari dalam.

Di antara musuh-musuh tasawuf juga ialah mereka yang jahil dengan hakikat tasawuf Islam itu sendiri. Mereka tidak mempelajari daripada tokoh-tokoh ulama sufi secara jujur dan amanah serta tidak juga mengambil manfaat daripada ulama-ulama tasawuf yang ikhlas menyampaikan ilmu pengetahuan. Mereka cuba mengkaji sendiri kitab-kitab tasawuf sedangkan mereka tidak mempunyai asas dan tidak memahami maksud sebenar serta mereka juga tidak mengetahui tentang penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut oleh musuh-musuh tasawuf Islam. Maka akan timbullah pandangan negatif dan berburuk sangka terhadap tasawuf ini. Kita boleh bahagikan mereka ini kepada beberapa golongan:

Golongan pertama:

Fikrah tentang tasawuf yang ada pada mereka diambil melalui amalan suluk sesetengah golongan yang menyelinap masuk serta menyeleweng yang terdiri daripada musuh-musuh tasawuf. Mereka tidak membezakan di antara tasawuf yang hakiki lagi suci dengan sesetengah perkara jelek dan keji yang datang menyelinap yang tiada hubungkait dengan Islam.

Golongan kedua:

Mereka merupakan golongan yang terpedaya dengan apa yang mereka dapati daripada kitab-kitab tokoh-tokoh sufi yang terdiri daripada pelbagai permasalahan yang diselinap masuk. Mereka mengambilnya sebagai suatu hakikat sabit tanpa sebarang kepastian terlebih dahulu. Mungkin juga mereka mengambil kata-kata sabit yang terdapat dalam kitab-kitab ahli sufi lalu memahaminya tanpa mengikut apa yang dikehendaki oleh kitab tersebut. Mereka mengikut fahaman cetek yang dimiliki, ilmu yang terhad serta keinginan yang tersendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ahli sufi yang jelas kefahamannya tentang syariat dan akidah. Mereka mentakwilkan kalam-kalam para ulama sufi mengikut hawa nafsu tanpa bertanya terlebih dahulu kepada ahlinya yang lebih memahami. Mereka ini seumpama mengambil ayat-ayat al-Quran al-Karim yang mempunyai kesamaran (mutasyabihat) lalu mentakwilkannya sesuka hati tanpa melihat kepada ayat-ayat yang jelas (muhkamat) dan tidak juga bertanya terlebih dahulu kepada para ulama yang lebih mengetahui sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah Taala di dalam al-Quran al-Karim (Surah al-Imran: Ayat 7). Sedangkan ada sebilangan dari kalangan mereka yang begitu mengecam pentakwilan (bukan menurut hawa nafsu) oleh para ulama muktabar bukan?

Golongan ketiga:

Mereka merupakan golongan yang tertipu. Mereka mencedok ilmu pengetahuan daripada orientalis. Mereka hanya menggunapakai pandangan dan sangkaan salah dari para orientalis semata-mata. Mereka tidak dapat membezakan di antara tasawuf Islam yang sebenarnya dengan tasawuf yang telah dicemari di sebabkan mereka tiada ilmu dan asas yang bertepatan.

Inilah di antara musuh-musuh tasawuf serta tarikat yang bertindak menyerang tasawuf dari sebelah luar ataupun dari sebelah dalam Islam. Mereka bersungguh-sungguh menabur fitnah selagimana mereka di berikan nyawa yang sementara ini dari Allah Taala. Mungkin juga mereka lupa bahawa mereka akan diperhitungkan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Bersedialah

Jumaat, 26 Februari 2010

Risalah Qusyairiyah


Ar-Risalatul Qusyairiyah Fi ‘Ilmit Tashawwuf
( Risalah Qusyairiyah )
Oleh: Abul Qasim Abdul Karim Hawazin Al Qusyairi An Naisaburi ra.
Keluaran: Pustaka Amani
Halaman: 647 mukasurat


Tasawuf merupakan disiplin ilmu yang dipandang lebih banyak berbicara persoalan batin dan keadaan2 rohani. Pengalaman yang dibentuk melalui proses perlaksanaan ajaran sufistik bersifat mistik dan hampir mengarah ke dalam yang bersifat peribadi dan sulit diperkatakan kepada orang lain, sehingga selamanya hampir menjadi milik peribadi.

Kitab ini disusun dengan tujuan meluruskan pemahaman keagamaan Islam tentang konsep2 tasawuf, akidah tasawuf, pengalaman mistik, terminal2 spiritual. Di samping berusaha menata kembali kekeliruan2 untuk dikembalikan pada posisinya semula, kitab ini juga memaparkan konsep2 sufi, yang hampir setiap persoalan disajikan secara lengkap dan utuh. Kitab ini juga menjadi sumber rujukan dan kajian bagi para sufi generasi sesudahnya.

Kurenungkan apa yang akan kukatakan saat kita berpisah,
Dan terus menerus ku sempurnakan ucapan permohonan,
Tapi lalu aku lupakannya ketika kita berjumpa,
Dan kalau tidak aku bicara, ku ucapkan kata-kata hampa.
Wahai Laila, betapa sangat perlunya aku,
Tapi ketika ku datang padamu,
Aku tidak tahu apa keperluanku.
Dari Bisyr ibn Al-Harits:
”Apabila berbicara menyenangkan anda, diamlah. Apabila diam menyenangkan anda, berbicaralah.”

”Belajarlah diam sebagaimana kamu belajar berbicara. Jika bicara dahulu menjadi pembimbingmu, maka diam akan menjadi pelindungmu”.

Diceritakan bahawa Ibrahim bin Adham ra pergi ke salah satu padang pasir yang luas. Seorang tentera yang dijumpainya di situ bertanya ”Dimanakah kampung yang paling dekat dari sini ?”. Ibrahim bin Adham menunjuk ke arah kuburan. Tentera itu lalu memukul kepalanya hingga berdarah. Ketika akhirnya dia melepaskan Ibrahim bin Adham, seorang mengatakan kepadanya, ”itu ialah Ibrahim bin Adham, sufi dari Khurasan”. Tentera itu lalu meminta maaf kepada Ibrahim bin Adham, lalu ia berkata, ”Ketika engkau memukulku, aku berdoa kepada Allah swt agar, memasukkanmu ke dalam syurga”. Tentera itu bertanya, ”Mengapa ?”. Ibrahim bin Adham menjawab, ”Sebab aku tahu bahawa aku akan memperolehi pahala kerana pukulan2mu. Aku tidak ingin nasibku menjadi baik dengan kerugianmu dan perhitungan amalmu menjadi buruk kerana aku.”

Allah swt mewahyukan kepada Nabi Isa as..
”Peringatlah dirimu. Jika ia menghiraukan peringatan itu, maka peringatlah manusia. Jika tidak, maka malulah kepada-Ku untuk memperingatkan manusia.”

Kitab ini dibahagikan kepada 5 bab.
1.Dasar-dasar tauhid menurut kaum sufi.
2.Istilah-istilah tasawuf
3.Tingkatan jalan pendakian para salik
4.Keadaan rohani dan karamah
5.Tokoh-tokoh sufi dan kata-kata hikmahnya.

Jumaat, 29 Januari 2010

Haqa’iq Tasawuf


Kitab Asal: Haqa’iq Anit Tasawwuf
Oleh: Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah
Terjemahan: Ustaz Mustafa Hussain At-Taib
Halaman : Lebih 500 Mukasurat

Beliau adalah Syeikh Abdul Qodir bin Abdillah bin Qasim bin Muhammad bin Isa Azizy Al Halaby As Syazily. Nasabnya bersambung kepada Syeikh Umar Al Ba’aj yang masih keturunan Imam Husein r.a (1920M – 1991M). Syeikh hanya meninggalkan sebuah kitab (Haqa’iq Anit Tasawwuf) yang mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari para ulama yang ikhlas, pencari jalan petunjuk, mursyid yang shadiq serta penuntut ilmu.
Kitab ini merangkumi dua jilid. Di bahagian jilid 1 merangkumi 3 bab iaitu Pengertian Tasawuf, Method Amali Dalam Tasawuf dan Jalan Menuju Ilahi. Manakala di bahagian jilid 2 merangkumi 2 bab iaitu Hasil Tasawuf dan Memperbetulkan Tanggapan Terhadap Tasawuf.

Hai orang yang bertanya kepadaku tentang Rasulullah saw,
bagaimana ia lupa.
Lupa itu dari setiap hati yang lalai dan main-main.
Lupa lubuk hatinya dari segala sesuatu.
Maka ia lupa dari yang selain Allah.

Suhbah memberi kesan kepada akhlak serta perjalanan hidup seseorang.. Jika lihat di zaman kegelapan jahiliah, para sahabat r.a tidak mencapai kedudukan yang terpuji, kecuali setelah mereka bersuhbah dengan Rasulullah saw serta duduk bersama baginda saw. Begitulah juga dengan para tabien, mereka telah mendahului orang lain dalam memilih kemuliaan setelah bertemu dan mengikuti pada sahabat Rasulullah saw.

Dari sudut lain, manusia tidak sunyi daripada penyakit hati.. Melalui diri sendiri, penyakit yang tersembunyi seperti Ujud, Riya’, Nifaq, Hasad, Ego, Sombong, Bakhil dan sebagainya tidak dapat diketahui. Bahkan kadang-2 manusia menyangka bahawa dia adalah manusia yang paling sempurna akhlaknya dan paling teguh agamanya, sedangkan dia sebenarnya adalah orang yang jahil murakkab dan berada dalam kesesatan yang nyata.

Firman Allah swt:
“Katakanlah: Apakah (kamu ingin) Kami khabarkan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baik.” QS Al-Kahf:103-104

Seseorang manusia tidak mungkin mampu untuk melihat keaiban wajahnya sendiri, kecuali dengan cermin yang bersih yang mampu memperlihatkan gambaran sebenar keadaannya. Begitu juga seseorang mukmin, dia semestinya mempunyai saudara mukmin yang ikhlas, jujur dalam memberi nasihat.. Dia berkawan dengannya serta sentiasa mendampinginya, lalu kawan tadi memperlihatkan kepadanya keaiban diri dan memberitahu tentang penyakit-2 hati yang tersembunyi sama ada dgn kata-2 ataupun hal..

Di antara cermin ada yang tidak rata dan bertompok-2 yang akan mengubah kecantikan bentuk wajah. Beginilah keadaan kawan-2 di antara mereka ada yang tidak memperlihatkan kepadamu tentang hakikat dirimu yang sebenar. Dia memujimu sehingga kamu menyangka diri kamu sempurna lalu hatimu dipenuhi dengan Tipu Daya dan Ujud.

Apabila kamu berada dalam satu tempat maka bersahabatlah dengan golongan terpilih (berakhlak tinggi) diantara mereka.
Jangan kamu berkawan dengan orang yang rosak lalu kamu akan rosak binasa bersama mereka.
Tentang seseorang, janganlah kamu bertanya dengan (tuannya) tetapi tanyalah kepada kawannya.
Kerana semua orang yang berkawan pasti mengikut kawannya..

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar”. QS At-Taubah: 119

Sabda Rasulullah saw:
Diriwayatkan oleh Abu Ya’la, daripada Ibnu Abbas r.a huma katanya: Dikatakan kepada Rasulullah saw: wahai Rasulullah saw! Kawan kami (yang kami duduk bersamanya) yang mana satukah yang paling baik? Jawab Baginda saw: Orang yang apabila kamu melihat kepadanya boleh mengingatkan kamu kepada Allah swt, percakapannya menambahkan ilmumu serta amalannya mengingatkan kamu kepada akhirat.

Abu Hamid Al-Ghazali ra.
Imam Hujjatul Islam Al Ghazali ra berkata: “Menyertai ahli sufi adalah fardhu ain kerana seseorang itu tidak sunyi daripada keaiban dan penyakit, kecuali anbiya alaihimussalam.

Beliau berkata: “Pada mulanya aku mengingkari keadaan orang2 soleh serta kedudukan orang arifin sehinggalah aku bersuhbah dengan Syeikhku iaitu Yusuf An-Nassaj. Beliau sentiasa menggilapku dengan mujahadah sehingga aku memperolehi warid, lalu aku melihat Allah swt di dalam tidur.
Allah berkata kepadaku: “Wahai Abu Hamid! Tinggalkan kesibukan hatimu dan bersuhbahlah dengan kaum yang Aku jadikan mereka di bumiKu sebagai tempat Aku memandang. Mereka adalah orang yang menjual dunia dan akhirat demi cintaKu”.
Aku berkata: “Demi keagunganMu – aku tidak akan mengecapinya – jika Engkau tidak memberikan diriku dengan ketenangan berbaik sangka terhadap mereka”.
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku telah lakukan perkara tersebut. Pemutus di antara kamu dan mereka ialah kesibukanmu mencintai dunia. Maka keluarlah daripadanya dengan pilihanmu sendiri sebelum kamu keluar dalam keadaan terhina. Sesungguhnya telahKu limpahkan cahaya dari samping qudusKu”.
Tiba2 dalam keadaan gembira aku terjaga dari tidur. Selepas itu aku pergi berjumpa dengan Syeikhku, lalu aku ceritakan mimpiku, beliau tersenyum sambil berkata” “Wahai Abu Hamid! Ini adalah bentangan kami yang lahir pada permulaannya, bahkan sekiranya kamu bersuhbah denganku nescaya basirahmu akan memperolehi pertolongan dan bantuan..

Selasa, 26 Januari 2010

Pendapat ‘Ulama’ Muktabar Tentang Tasawwuf Dan Ahli Sufi


Berkata Imam mazhab kita, Imam Syafi’i r.h.: “Aku telah mendampingi ahli sufi, maka aku telah mendapat faedah daripada mereka dua kalimah:

“Waktu itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.”

“Sekiranya diri kamu tidak disibukkan dengan perkara kebenaran, maka ia akan menyibukkan kamu dengan perkara-perkara yang batil” (Imam al-Suyuti, Ta’qid al-Haqiqah al-’Aliyyah).

Berkata Imam Malik:

“Sesiapa yang belajar ilmu feqah tetapi tidak belajar ilmu tasawwuf, maka ia adalah fasiq. Sesiapa yang belajar ilmu tasawwuf tetapi tidak belajar ilmu feqah maka ia adalah zindiq, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya, maka ia adalah ahli haqiqat.” (Shaykh al-Fasi, Qawaid al-Tasawwuf).

Imam Ahmad bin Hanbal r.h. berkata kepada anaknya Abdullah:

“Wahai anakku! Hendaklah kamu duduk bersama kaum ini (ahli sufi) kerana mereka telah melebihi kami dengan banyaknya ilmu, muraqabah, khashyah, zuhud dan tinggi himmah.” (Shaykh Amin al-Kurdi, Tanwir al-Qulub).

Buku Membentuk Jiwa Sufi adalah terjemahan daripada Kitab Tanwir al Qulub.Diterjemah oleh Tuan Syeikh Dr Jahid Sidek Al Kholidiah untuk bahagian Tasawuf.Didalam buku ini Tuan Guru menjelaskan lagi tentang amalan Tarekat Naqsyabandiah serta 3 salasilah Tarekat Naqsyabandiah yang terdapat diMalaysia.

Salasilah pertama adalah dari salasilah Tuan Guru Imam Haji Ishak Bin Mohammad Arif(36) mursyid di surau Jeram Bangkin Dong Raub Pahang.(Murid kepada Tuan Guru Haji Umar bin Haji Mohammad
Salasilah kedua adalah dari Tuan Guru Haji Mohammad Jaafar Abdullah (37)yang pernah menjadi mursyid di Pondok Upeh Balik Pulau Pulau Pinang (Murid kepada Tuan Guru Haji Mohammad Taib).
Salasilah ketiga adalah dari Tuan Guru Syeikh Haji Maaruf Bin Yaqub (37) surau suluk Kampung Baru Lengging Negeri Sembilan (Murid kepada Syeikh Haji Ahmad bin Haji Muhammad Al Baqir).

Ahad, 13 Disember 2009

Ahlus Sunnah Wal Jamaah A-syairah- Penyaksian Para Ulamak Umat dan Dalil-dalil mereka.



Sebuah kitab (buku) yang benar-benar menjawab kemuskilan dan kesamaran terhadap akidah dan Para Pemuka mazhab Ahlissunnah waljamaah aliran Asyairah ( para pendukung fahaman Imam Abu Hasan al Ashari) . Iaitu fahaman pengajian tawhid (sifat 20) yg telah didukung berkurun-kurun lamanya oleh kiyai-kiyai, tuan-tuan guru pondok/pesentren dan awamnya, senusantara khasnya , dan dunia Islam amnya.
Sebuah buku yang telah ditaqriz (diberi kata-kata aluan dengan sanjungan dan pujian) oleh 10 orang ulama terkini yang terkemuka diseluruh dunia.
1. Dr. Muhammad Hasan Hito.
2. Dr. Muhammad Fawzi Faidhullah.
3. Dr. Muhammad Said Ramadhan.
4. Dr. Ujail Jasim an Nasyami.
5. Dr. Ali Jum'ah- Mufti Mesir.
6. Dr. Muhammad Abd. Ghaffar syarif.
7. Dr. Wahbah Zuhaili.
8. Dr. Abd. Fattah Bizam- Mufti Dimasyq.
9. Dr. Husain bin Abdullah al-Ali.
10. Al Habib Ali al Jifri.
Sebuah kitab (buku) yang membahaskan 51 tajuk dan disudahi dengan satu khatimah (penyudah) yang sangat menarik dan dapat membersihkan sangkaan buruk terhadap pelajaran tawhid sifat 20.
diantara kandungannya: biodata Imam Asyhari r.a , penolakan terhadap dakwaan tiga peringkat akidah Imam Ashaari, adakah Imam Abdillah bin Said bin Kilab ( Ibnu Kilab) menyeleweng dari jalan para salaf?, satu pengamatan terhadap kitab ibanah dan bukti perubahan2 yang berlaku pada teks makhthut (tulisan tangan) dan yang telah dicetak. Imam Tahawi berakidah yang bertepatan dengan akidah Asyairah. Adakah Asyairah menghampakan , mengosongkan Tuhan dari sifat-sifat?.. dan bahas2 yang mampu menyejukkan hati...pada satu isi penghujjahan dimuka surat 266, satu daripada saksi yang meyabitkan kelebihan Asyairah dan Maturidiyyah kerana terdapat satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Al Bukhari dalam Tarikh al Kabir dan al Saghir, Imam Ahmad dalam al Musnad , al Bazar , Ibnu Khuzaimah, al Thabarani , al Hakim telah mensahihkannya dan telah diakui pentashihhan al Hakim tersebut oleh al Zahabi, Imam Sayuthi telah merumuzkan hadis tersebut dengan tanda "Sahih" dalam Jamik al Saghir beliau. Iaitu hadis :

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير اميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

"Akan ditawan kota Kostantiniah , maka (yang dapat menawannya adalah) Sebaik-baik Raja , adalah Rajanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya .."... Maka adalah suatu yang tidak dapat dinafikan didalam sejarah, bahawa Sulthan Muhammad al Fateh ( yang dapat menawan Kostantaniah lalu menukarkannya menjadi Islambuli/Istanbuli) dan semua Sulthan Otthman Empayer adalah "Hanafiyan fil furu" , Maturidiyyan fil I'tiqod" - bermazhab Hanafi pada fekah dan bermazhab Maturidi pada akidah.

Isnin, 7 Disember 2009

Salik Dan Suluk


Salik adalah orang yang menjalani latihan kerohanian secara bersuluk. Suluk pula adalah sistem latihan kerohanian yang digunakan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Tuhan. Semasa bersuluk seseorang itu mengasingkan diri daripada orang ramai. Bila dia tidak ada bersama orang ramai, maka mereka terselamat daripada gangguan yang mungkin datang daripadanya dan juga dia terselamat daripada gangguan yang mungkin datang daripada mereka. Pengasingan tersebut boleh menyelamatkan ahli suluk itu daripada anasir yang boleh merosakkannya melalui ego dan nafsunya. Dalam pengasingan itu juga dia melatihkan diri bagi memperolehi perkembangan kerohanian. Dia melatihkan diri agar terpisah daripada sifat-sifat yang tercela dan digantikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Semasa bersuluk itu amal ibadat seperti bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain dilakukan dengan banyaknya. Dorongan hawa nafsu dikurangkan dengan cara menyedikitkan makanan, tidur dan berkata-kata. Bila kurang berkata-kata hati menjadi tidak lalai dalam mengingati Tuhan.

Orang yang mahu memasuki suluk mestilah mempunyai azam yang kuat. Perkara-perkara yang sering menghalang seseorang daripada memasuki suluk adalah dunia, makhluk, syaitan dan hawa nafsu. Kebanyakan manusia tidak sanggup memisahkan diri buat seketika dengan dunia dan makhluk. Tipu daya syaitan dan kesenangan hawa nafsu berada dengan makhluk. Oleh sebab itu agak sukar bagi kebanyakan orang memisahkan dirinya daripada orang ramai. Jika dia berjaya melepaskan halangan tersebut dia mungkin berhadapan dengan halangan lain semasa bersuluk. Halangan semasa bersuluk adalah tuntutan mencari rezeki, kebimbangan tidak akan menemui apa yang dicari, kemungkinan ditimpa penyakit dan juga masalah keluarga yang berbagai-bagai. Seseorang salik perlu memperkuatkan sifat sabar dan bertawakal jika dia mahu jika dia mahu melepasi rintangan yang menghalangnya meneruskan amalan suluk. Dia juga perlu mengawasi perkara-perkara yang boleh merosakkan pencapaian rohaninya. Perkara-perkara tersebut adalah sifat-sifat takabur, ujub, riak dan samaah. Suasana hati yang ingin diperolehi melalui bersuluk adalah: “Ilahi! Engkau jua maksud dan tujuanku dan keredaan Engkau yang aku cari”.

Salik yang berhasrat memperolehi hasil yang baik perlu menjaga sopan santun semasa bersuluk. Perlu yang perlu dijaga adalah:
a) mengikhlaskan kasih kepada Allah s.w.t dan melakukan ibadat semata-mata kerana Allah s.w.t bukan kerana mahukan kasyaf dan keramat.
b) Amal ibadat yang dilakukan hendaklah sesuai dengan peraturan yang ditentukan oleh syariat, tidak boleh mengubahnya sehingga bercanggah dengan syariat.
c) Salik perlu melepaskan ilmu-ilmu yang boleh melalaikannya dan boleh menarik cita-citanya kepada yang selain Allah s.w.t. Ilmu-ilmu seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu menarik harta dari bumi, ilmu yang berkait dengan khadam dan yang seumpamanya hendaklah dilepaskan kerana ilmu yang demikian menutup mata hati.
d) Ketika menjalani amalan suluk fikiran hendaklah dibebaskan daripada memikirkan dan mengangankan sesuatu yang di dalam dunia.
e) Hati hendaklah dipisahkan daripada sifat-sifat yang keji, seperti sifat haiwan, syaitan dan dorongan hawa nafsu.
f) Memenuhkan masa bersuluk dengan kegiatan yang mengingatkan hati kepada Allah s.w.t.

Sebahagian manusia lebih dituntut bergiat dalam kehidupan harian daripada mengasingkan diri. Pertama adalah orang alim yang ilmunya diperlukan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang ramai. Termasuk di dalam ilmu yang diperlukan oleh orang ramai adalah pengajarannya, fatwanya dan karangannya. Orang yang seperti ini penyebaran ilmu merupakan ibadat khusus bagi mereka selepas ibadat fardu. Selepas urusan sembahyang lima waktu, lebih afdal baginya menyebarkan ilmu dan membasmikan kejahilan dalam masyarakat daripada mengasingkan diri dan membenamkan diri ke dalam perkara yang sunat. Golongan kedua adalah pengusaha yang mempunyai kepakaran yang diperlukan oleh orang ramai, seperti doktor, pembuat roti, tukang kayu dan sebagainya. Mereka perlu berkhidmat kepada orang ramai dan memakmurkan bumi ini. Masa lapang mereka perlu diisi dengan ibadat dan membaca al-Quran. Golongan ke tiga adalah pemerintah yang bertugas membawa kebajikan kepada orang ramai. Mereka lebih dituntut menegakkan keadilan di dalam masyarakat dan menyebarkan kesejahteraan hidup daripada mengasingkan diri. Masa lapang mereka perlu diisi dengan ibadat dan pada malamnya diperbanyakkan wirid.

Ada dua jenis manusia, secara sifat semulajadi mereka, sangat cenderung memasuki jalan suluk. Jenis pertama adalah orang yang cenderung untuk menjadi abid atau ahli ibadat. abid tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali beribadat kepada Allah s.w.t. Golongan ini seolah-olah tidak ada kemahiran untuk melakukan sesuatu yang lain daripada beribadat. Mereka hanya memperolehi manfaat dengan menggunakan masa untuk beribadat. Golongan ini dikuasai oleh suasana hati yang sangat takut meninggalkan ibadat untuk melakukan sesuatu pekerjaan, kerana dia takut tidak akan dapat menyempurnakan kebaktiannya kepada Allah s.w.t. Mereka sangat takutkan dunia kerana mereka melihat kekacauan di dalam dunia menjadi fitnah yang merosakkan hubungan mereka dengan Tuhan. Meninggalkan ibadat membuat mereka merasakan berjauhan dengan Tuhan. Rasa berjauhan dengan Tuhan menjadikan mereka tidak bermaya dan tidak berupaya berbuat apa-apa. Hanya ibadat boleh memberi kekuatan kepada mereka. Mereka seolah-olah tidak ada pilihan kecuali hidup beribadat dalam pengasingan. Jenis kedua dinamakan muwahhid iaitu orang yang terikat sepenuhnya dengan Allah s.w.t. Kecintaan mereka kepada Allah s.w.t sangat kuat menyebabkan hati mereka ‘pecah’ dan tidak berupaya lagi mengasihi sesuatu yang selain Allah s.w.t. Kebahagiaan mereka hanyalah bersama-sama Allah s.w.t, tidak ada tempat lagi untuk makhluk. Hati mereka tidak melihat kepada makhluk, oleh itu kehadiran makhluk tidak diperlukan. Orang yang ditakdirkan menjadi salah satu daripada dua golongan tersebut sangat cenderung memasuki jalan suluk sebagai persediaan untuk mereka mencapai kesempurnaan pada jalan abid atau muwahhid.

Selain golongan yang menuju kepada suasana abid dan muwahhid, orang yang cenderung memasuki jalan suluk adalah muta’allim, iaitu orang yang belajar semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka merupakan golongan yang mencari kebenaran. Mereka tidak merasa puas dengan apa yang ditemui pada jalan pembelajaran biasa. Mereka memasuki suluk dengan harapan akan menemui apa yang tidak mereka temui sebelum bersuluk. Mereka percaya kebenaran yang sejati hanya boleh ditemui oleh hati yang suci murni dan cara yang paling baik menyucikan hati adalah dengan bersuluk. Golongan ini memerlukan bimbingan guru tarekat yang arif. Guru hendaklah tahu kedudukan murid dan tahu kadar ilmu yang boleh dibukakan kepada murid berkenaan. Bagi muta’allim (orang yang belajar) yang tidak memasuki jalan suluk, haruslah memberi tumpuan kepada mempelajari ilmu. Menghadiri majlis ilmu lebih utama daripada ibadat sunat dan berzikir yang boleh dilakukan pada masa lapangnya.

Muta’allim yang memasuki suluk lebih terdorong untuk mengalami suasana kerohanian yang diistilahkan sebagai muttakhaliq, iaitu orang yang mengalami perubahan sifat. Ada dua jenis muttakhaliq. Jenis pertama mengalami suasana mereka menjadi alat dan Allah s.w.t Pengguna alat. Mereka melihat perbuatan dan kelakuan mereka berlaku tanpa mereka rancang dan mereka tidak berdaya menahannya. Mereka melihat apa yang terjadi pada mereka terjadi tanpa kehendak mereka sendiri, tanpa usaha, tanpa tadbir dan tanpa ikhtiar memilih. Muttakhaliq jenis kedua pula adalah orang yang melihat Allah s.w.t meletakkan sifat dan bakat pada diri mereka dan mereka menjadi pelaku kepada sifat dan bakat tersebut. Jenis pertama melakukan sesuatu dalam suasana ‘dengan kehendak Allah s.w.t’ dan jenis kedua dalam suasana ‘dengan izin Allah s.w.t.’

Ahli suluk, sesudah melalui berbagai-bagai pengalaman kerohanian, kembali semula kepada kesedaran biasa dinamakan mutahaqqiq. Golongan ini kembali kepada jalan kenabian, memegang tugas sebagai khalifah Allah s.w.t yang meneruskan perjuangan Nabi-nabi. Golongan ini kembali kepada kesedaran kemanusiaan bagi membolehkan mereka menguruskan hal-ehwal manusia.

Burdah Zikir & Selawat