SELAMAT DATANG KE LALUAN SUTERA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.

Rabu, 28 Oktober 2009

Pengertian Tasawuf oleh Syeikh Ali Jumaah Mufti Mesir


Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ

Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara.

Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ، فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا


Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ


Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Manfaat Dan Pengaruh Pergaulan


Pergaulan memiliki pengaruh yang sangat signifikan dalam membentuk keperibadian,akhlak dan tingkah laku manusia.Sesorang akan terikut-ikut sifat sahabat-sahabatnya melalui pengaruh spiritual yang membuatnya mengikuti tingkah laku sahabatnya.

Manusia merupakan makhluk sosial yang harus bergaul dengan orang lain dan menjadikan sebahagian diantara mereka sebagai sahabat. Apabila ia memilih bergaul dengan orang yang perilakunya jahat atau rosak akhlaknya maka sifat-sifatnya akan terpengaruh kepada sifat tersebut tanpa disedarinya dan memungkinkan ia terjerumus ke dalam jalan hidup mereka.

Akan tetapi,jika dia memilih untuk bergaul dengan ahli iman,takwa, istiqamah dan makrifat kepada Allah,nescaya pada secara kebiasaannya dia akan melakukan jalan hidup yang sama .Dia akan dapat belajar dari mereka akhlak yang lurus,iman yang kukuh,sifat –sifat luhur dan makrifat kepada Allah.Dan ia akan terbebas dari perkara-perkara yang membawa dirinya kepada kemungkaran.

Oleh sebab itu akhlak seseorang dapat diketahui dengan mengetahui siapa sahabat yang paling rapat dengannya.Seorang penyair sufi mengatakan,

Jika engkau berada dalam satu kaum,maka bergaulah dengan orang-orang yang terbaik.Janganlah bergaul dengan orang-orang yang tercela.Sehingga engkau terjerumus kedalam kehinaan.Janganlah bertanya tentang sahabatnya sebab,setiap orang akan mengikuti sahabatnya.

Selasa, 27 Oktober 2009

Kedudukan Ilmu Tasawuf


Mengikut pandangan al-Imam al-Syeikh 'Abd al-Wahhab al-Sya'raniy di dalam kitab al-Anwar al-Qudsiyyah, tasawuf adalah:"beramal dengan ilmu syariat dengan ikhlas dan tulus. Kalau engkau melihat kepada ulama tasawuf di zaman silam yang mengasaskannya, mereka semuanya adalah ulama yang beramal dengan ilmu mereka dan juga merupakan para pendakwah yang mengikut al-Quran dan al-Sunnah sebab itu terpancar cahaya mereka dan kesan mereka berterusan sampai ke hari ini.

Jadi tasawuf adalah mempelajari fardu ain kemudian beramal dengan ilmu tersebut untuk mendapatkan ketulusan dan keikhlasan dengan memohon bantuan Allah dan berterusan mengingati Allah dengan berzikir dan beribadah untuk membersih ruh dan menyucikan jiwa serta mengubati hati yang sakit.

Tidak dinamakan tasawuf kalau tidak berilmu, dan ilmu tidak akan bermanfaat kalau tidak disertakan amalan. Sesiapa yang mengatakan tasawuf itu tanpa ilmu dan tanpa amal maka itu bukanlah tasawuf.Untuk menjelaskan lagi tentang hakikat tasawuf, di sini akan diterangkan pandangan ulama dan para solehin tentang tasawuf:

1. Imam Ahl al-Sunnah al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata kepada anaknya Abdullah:" Wahai anakku, hendaklah engkau menghadiri majli orang-orang tasawuf kerana mereka akan membuatkan engkau memiliki banyak ilmu, kuat muraqabah, selalu takutkan Allah, zuhud dan tinngi keazaman". Beliau juga pernah berkata:" Aku tidak mengenali orang yang lebih baik daripada mereka".

2. Imam al-Ghazali berkata:" Aku mengetahui dengan yakin bahawa orang-orang tasawuf berjalan menuju Allah, dan perjalanan mereka adalah sebaik-baik perjalanan dan jalan mereka adalah jalan yang paling benar danmereka memiliki akhlak yang amat tinggi.

3. Al-'Izz bin 'abd al-Salam berkata:"Golongan sufi adalah golongan yang betul-betul mengikuti syariat dan mereka tidak akan merosakkan dunia dan akhirat, sementara orang lain hanya hebat luaran sahaja".

4. Imam Malik berkata:"Sesiapa yang berfekah dan tidak bertasawuf maka dia telah fasiq dan sesiapa betasawuf dan tidak berfekah maka dia telah zindiq, dan sesiapa yang mengambil kedua-duanya maka dia telah menepati kehendak Allah".

5. Imam Syafie berkata:"Di dunia ini aku suka tiga perkara;pertama:Meninggalkan perkara remeh,kedua: Bergaul dengan makhluk dengan lemah lembut,ketiga: Mengikut jalan orang-orang tasawuf."

6. Mengikut pandangan Imam Sayuti, teras jalan tasawuf ada lima:
a. Bertaqwa zahir dan batin, ketika bersendiri dan di khalayak ramai.
b. Mengikut Sunnah pada perkataan dan perbuatan.
c. Menghindari percampuran dengan makhluk di dalam masalah yang tidak
berfaedah.
d. Reda dengan pemberian Allah samada banyak atau sikit.
e. Kembali kepada Allah ketika senang dan susah.

7. Imam Fakhr al-Din al-Razi:"Sesiapa yang mengkelasifikasikan manusia tanpa menyebut golongan tasawuf adalah salah, kerana mereka menyebut bahawa jalan menuju makrifah Allah ialah dengan menumpukan sepenuh perhatian dan dengan menyucikan jiwa daripada sebarang ikatan fizikal.Ini adalah jalan yang baik." Beliau juga pernah menyebut:"Kaum sufi adalah mereka yang sentiasa sibuk berfikir kebesaran Allah dan mengosongkan jiwa daripada ikatan jasmani, bersungguh-sungguh supaya dalaman dan fikiran mereka sentiasa berzikir ketika mereka bercakap dan bekerja, bersikap baik adab dengan Allah dan mereka adalah sebaik-baik makhluk.

Isnin, 26 Oktober 2009

Keperluan Tasawuf Di Zaman Ini



Apakah gunanya Tasawuf di zaman pembangunan negara kita ini? Tidakkah akan mematah semangat kerja pembangunan?
Tasawuf yang betul dan benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan,malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna.Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusian dan kebajikan,untuk seorang Tasawuf cukup sebaimana yang digambarkan pada sifat Nabi,Sahabat dan Ulama.
Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai dengan pembangunan jiwa dan roh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tidak bernyawa dan membangunkan roh sahaja samalah seperti roh yang tidak berjasad.
Syarak dan hakikat perlu sama maju.Masing masing dalam pembangunan negara hendaklah mengambil lapangan masing masing.
Umpamanya susu adalah minuman yang lazat dan baik,jika ada orang yang tidak suka minum susu janganlah memburukkan susu.Ada orang suka minum teh atau kopi,ambillah minuman masing masing.
Kita harus tahu dan sedar,sebab sebab orang menentang dan memusuhi Tasawuf dan Tarikatnya ialah kerana ia tak tahu kahil atau keliru,samada kelirunya oleh perbuatan atau keadaan orang orang Tasawuf itu sendiri atau orang itu sendiri yang keliru.Di saat masyarakat yang perlu kita peringatkan mereka supaya balik ke jalan Allah maka Tasawuf adalah sesuatu ilmu yang betul memberikan keinsafan dan kesedaran Islam yang mendalam dan daripada keinsafan dan kesedaran yang mendalam itulah menimbulkan pengalaman dan keyakinan yang teguh dan tetap.
(Dipetik dari buku :Simposium Tasawuf Dan Tarikat Karya Dr Burhanuddin Al Helmy

Sabtu, 24 Oktober 2009

Omar Mokhtar Pemimpin Tarekat Sanusiyyah


Tokoh terbilang ini nama penuhnya Omar al-Mokhtar Muhammad Farhat Abridan Muhammad Mukmin Buhadimeh Abdullah bin Manaf Bin Muhsen bin Hasan bin Ikrimah bin al-Wataj Bin Sufyan bin Khaled bin al-Joshafi bin Toher Bin al-Arqa’ bin Sa’id bin Uwaidah bin al-Jareh bin Khofi bin Hisham Bin Manaf al-Kabir yang berketurunan sampai kepada bangsa Quraisy.

Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli.

Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah. Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu mudaKepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar.

Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin Tarekat as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.

Menyertai Jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris. Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali.

Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu. Ketika umurnya 37 tahun beliau telah menyertai jihad menentang Perancis di sempadan Sudan dan Chad, iaitu satu usia yang dianggap muda khususnya dalam suasasan peperangan.

Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya.

Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.

Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting :

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.
2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-’Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.
3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.

Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Ketokohan Omar Terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu. Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.

Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.

Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya.

Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tingi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (musuh Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya di bawah penguasaan mereka.

Dihukum Gantung Sampai Mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.

Beliau meingatkan kepada mereka: “Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini.”

Jumaat, 23 Oktober 2009

Al-Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad



Beliau dilahirkan di salah sebuah kampung di Kota Tarim, iaitu di Hadhramaut, Yemen pada 5 Safar 1044 Hijrah. Beliau dibesarkan di kota tersebut yang terkenal sebagai pusat penempatan kaum Asyraf dari keturunan Saiyidina Husain bin Ali bin Abu Talib. Di sanalah beliau mendapat pelajaran Al-Qur’an serta menghafalnya.

Di masa kecil beliau telah kehilangan penglihatan disebabkan penyakit cacar yg menimpanya, akan tetapi Allah s.w.t. telah menggantikan penglihatan lahirnya yang hilang dengan penglihatan batin. Beliau terus menuntut ilmu agama dan mendalaminya, sehingga menjadi pintar dan jaguh dalam segala selok-belok pelajaran agama dan lapangannya. Beliau kemudian mendampingi para ulama yang terkenal pada zaman tersebut, serta Allah s.w.t. telah mengurniakannya dengan kekuatan hafalan yang sangat menakjubkan serta kefahaman yang luar biasa.

Beliau terus bersungguh-sungguh dalam menjalankan amal ibadatnya, serta menyertakan amal di samping ilmunya. Demikianlah cara hidup beliau dari masa remaja hingga ke masa dewasa, sehinggalah ke akhir hayatnya. Beliau sangat giat mendidik murid-muridnya dan membimbing peminat-peminatnya untuk menuju ke jalan Allah Ta’ala. Lantaran itu, maka ramailah pelajar yang datang mengunjungi beliau dari merata ceruk dan rantau, sehingga dengan itu tersebar-luaslah manfaat yang ditabur oleh beliau ke merata tempat. Meskipun kedua-belah matanya buta tidak dapat melihat, namun begitu beliau terus juga merantau dan mengunjungi beberapa negeri untuk tujuan dakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan, sehingga tersebarlah ajaran Islam kepada orang ramai.

Beliau juga seorang penyair yang berbakat. Apabila mengungkapkan syairnya, nescaya ia akan mempesonakan siapa sahaja yang mendengarnya. Beliau juga seorang penulis yang puitis. Tulisannya sungguh mengharukan dan memikat hati. Beliau akan memikat para pendengarnya apabila beliau berpidato, lawannya akan tewas apabila beliau mengemukakan hujah.

Beliau juga terkenal sebagai seorang yang jelas segala kata-kata dan ibaratnya, kukuh dan tegas pengolahannya, mendalam perbahasannya, sangat meneliti dalam pengambilannya, hujah-hujahnya terang, penerangannya mengkagumkan, amat luas interpretasinya. Beliau sering mengukuhkan pembicaraan dengan berpandukan kepada Al-Qur’anul-Karim, Hadith-hadith Nabi s.a.w. dan kata-bicara dari beberapa orang tokoh dan imam untuk mencabut gangguan-gangguan dalam diri dan was-was dari dalam dada setiap orang yang syubahat, di samping membetulkan setiap buruk-sangka, sehingga tiada ditinggalkan sesuatu kemusykilan pun melainkan diselesaikannya, atau sesuatu persoalan melainkan dijawabnya dengan terang.

Beliau meninggalkan kepada umat Islam khazanah ilmu yang banyak, yang tidak ternilai, melalui kitab-kitab dan syair-syair karangan beliau. Antaranya ialah:

1. An-Nashaa’ih Ad-Dinniyah Wal-Washaya Al-Imaniyah.

2. Ad-Dakwah At Tammah.

3. Risalah Al-Mudzakarah Ma’al-Ikhwan Wal-Muhibbin.

4. Al Fushuul Al-Ilmiyah.

5. Al-Hikam.

6. Risalah Adab Sulukil-Murid.

7. Sabilul Iddikar.

8. Risalah Al-Mu’awanah.

9. Ittihafus-Sa’il Bi-Ajwibatil-Masa’il.

10. Ad-Durrul Manzhum Al-Jami’i Lil-Hikam Wal-Ulum.*

* Kitab ini adalah kumpulan syair-syair Al-Imam. Qasidah-qasidah dalam album ini di ambil dari kitab ini.

Beliau telah menyahut panggilan Tuhan pada petang hari Selasa, 7 Dzul-qaidah 1132 Hijrah, dan dikebumikan di perkuburan Zanbal, di Kota Tarim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan memberikan beliau dengan balasan pahala yang berganda-ganda.

Khamis, 22 Oktober 2009

ZIKIRULLAH


Hukum berzikir sama ada dengan lisan, hati, roh dan sirr dalam setiap nafas/masa/waktu.

Mengikut para ustaz yang terkongkong ilmu mereka di dalam amalan agama yang zahir dan terhijab daripada amalan agama bathin malakut,dll.

Hukum berzikir secara umumnya adalah sunat. Ianya menjadi wajib di dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam banyak keadaan, berzikir itu dilihat sebagai sunat muakkad atau sunat sahaja seperti zikir selepas solat, waktu-waktu tertentu dan waktu umum. Maka mereka memandang zikrullah itu sebagai satu tuntutan tambahan yang tidak wajib. Zikrullah dianggap sebagai satu kelebihan.

Maka sebab itulah sebahagian para ulama’ tarikat/sufi menasihati anak murid mereka agar tidak terpedaya dengan ustaz-ustaz begini agar anak muridnya itu tidak mengganggap zikrullah itu satu perkara yang ringan.

Bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin, berzikir itu ibarat nyawa, tidak boleh terlepas walaupun satu nafas atau detik atau saat. Mereka melihat zikir itu sebagai kewajipan dan sebagai maksud kehidupan ini walaupun mereka mungkin berbeza dalam kayfiyyat/kaedah berzikir tersebut. Dengan kata lain, apabila tidak berzikir (bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin), mereka merasakan dunia ini gelap dan mereka ibarat layang-layang yang putus talinya.

Bagi seorang ustaz yang hanya mengambil berat amalan agama yang zahir, zikrullah itu adalah sunat, sedangkan bagi seorang ‘Arif billah yang mengambil berat amalan agama yang zahir dan batin, zikrullah itu adalah wajib.
“Sesiapa yang pernah merasai nikmat zikrullah akan merasa bersalah/berdosa di dalam hati mereka apabila mereka berada di dalam keadaan lalai.”

Selasa, 20 Oktober 2009

SYEIKH MUHAMMAD KHALIL KHOTIB AN-NAIDI AS-SYAZALI

SYEIKH MUHAMMAD KHALIL KHOTIB AN-NAIDI AS-SYAZALI
(1909-1986)

Pengasas Tariqah Al-Khotibiyah As-Sayzliyah al-Khalwatiyah di Tanta, Mesir

As-Syeikh Muhammad Khalil Al-Khotib adalah salah seorang ulamak besar al-Azhar bermazhab Hanafi yang mendapat pengiktirafan sebagai " Penyair Rasulullah" di abad ke 19 ini .Beliau merupakan Khalifah tariqat daripada dua madrasah sufi di zamannya iaitu 'Madrasah Tariqat Khalwatiyah dan Madrasah Tariqah As-Syazliyah .

PENGENALAN
Beliau adalah As-Syeikh Muhammad bin Khalil bin Muhammad bin Sayyid bin Isma'il bin Ahmad Al-Khatib yang bersambung nasabnya dengan Sayyidina Hussin

KELAHIRAN
Beliau di lahirkan di sebuah desa padang pasir yang bernama 'Nida' sebuah perkampungan di mukim/markaz 'Akhmin' jajahan Suhaaj di selatan Mesir pada 9hb Mac 1909 m ( 1330H) .

PENDIDIKAN
Dari kecil beliau sudah menghafaz al-quran sekitar umur 7 tahun dan terus melanjutkan pelajaran di Madrasah Asyut sehingga mendapat Sijil Menengah Rendah pada tahun 1923 , seterusnya memperolehi Sijil Menengah Thanawi Al-Azhar pada tahun 1928 dan Ijazah sarjana muda pada tahun 1933 serta Ijazah Kedoktoran di dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1936.

PENULISAN
Beliau banyak meninggalkan banyak tulisan yang seusia dengannya ,di anggarkan bahawa beliau telah menulis sebanyak 77 buah kitab termasuklah tafsir, feqah , hadis, nahu, soraf, tasawuf dan sebagianya sebagai contohnya:

1. Tafsir iaitu tafsir juzuk 'Amma
2. Feqah
3. Aqidah iaitu: ' Aqidah Khotib
4. Hadis iaitu : Syarah Soihih Bukhari 5 jilid
5. Bahasa Arab iaitu: Alfiyah al-Khotib 1000 matan Al-Khotib) ,
6. Syair seperti Syair sufi, pujian nabi , pujian kepada Abi Talib dan sebagianya .
7. Hikam iaitu himpunan mutiara kata Syaikh Khotib.
8. Fatwa iaitu himpunan fatwa Syaikh Khotib .
9.Himpunan kisah teladan dan kisah benar berdasar hadis nabi .
10.Risalah jihad .
11.Rahsia zikir.
12. Risalah wasilah
13.Himpunan Khutbah nabi dan kitab inilah yang telah mengangkat Syeikh Khotib di kalangan para ulamak yang memakan masa selama 15 tahun cetakan Darul fadhilah Cairo dan banyak lagi apa yang menakjubkan tentang Shikh Khotib ni belaiu mengarang lebih kurang 70 ribu bait syair.

Burdah Zikir & Selawat